Sunday, October 26, 2008



Peta ke UKM dan Bandar Baru Bangi


Bandar Baru Bangi

Bandar Baru Bangi, yang dibangunkan sebagai sebuah bandar akademik, lengkap dengan pelbagai kemudahan publik, mula dibangunkan pada tahun 1975. Ia dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan kediaman dan perkhidmatan lain bagi penghuni kampus induk Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pembangunan bandar baru ini dimulakan dua tahun sebelum pemindahan Universiti Kebangsaan Malaysia dari kampus sementaranya di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Pemindahan ke kampus induk baru di Bangi bermula pada Oktober 1977.

Bandar baru ini dinamakan Bandar Baru Bangi, mengambil sempena sebuah pekan kecil, Bangi, yang terletak kira-kira 8km ke selatan. Bandar Baru Bangi dihubungkan dengan Kuala Lumpur dengan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). Masa perjalanan ke Bandar Baru Bangi sama ada dari Kuala Lumpur di utara atau Seremban di selatan, cuma mengambil masa 30 minit.

Selepas 30 tahun, bandar ini telah membangun dengan pesatnya. Pemandangan masa kini jauh berbeza dari tahun-tahun awal pembangunannya yang bermula dengan fasa satu di seksyen satu. Fasa pertama dibina di atas tanah seluas 10 hektar dengan 40 buah rumah berkembar, 28 rumah teres dua tingkat, 50 buah teres satu tingkat dan 4 buah rumah satu tingkat. Pada November 1977, penghuni baru mula menginap di kejiranan baru ini.

Pada masa kini, 80,000 penghuni menjadi Bandar Baru Bangi sebagai tempat kediaman mereka. Terdapat 20 seksyen yang telah dibangunkan. Pembangunan bandar ini begitu pesat sekali apabila kerajaan mengumumkan Putrajaya pada tahun 2001.

Putrajaya, pusat pentadbiran baru untuk Kerajaan Persekutuan terletak dalam lingkungan lima minit memandu dari Bandar Baru Bangi.

Terdapat banyak kemudahan yang telah dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk kegunaan penghuni bandar ini, termasuk sebuah taman rekreasi, Taman Cempaka yang terletak bersebelahan dengan Kompleks PKNS. Di samping itu, sebuah kompleks membeli belah baru turut dibina, Bangi Utama.

Untuk memenuhi keperluan perubahan dan kesihatan penduduk bandar ini, sebuah klinik kesihatan komuniti dibina. Sebuah balai polis dan balai bomba turut disediakan untuk penduduk bandar ini.

Bandar Baru Bangi kini mempunyai sebuah hotel antarabangsa bertaraf lima bintang, Hotel Equatorial Bangi-Putrajaya yang mempunyai 252 bilik. Reka bentuk dan seni bina bangunan ini berinspirasikan sebuah vila dan ia mempunyai lapan tingkat.

Kedudukan strategik Hotel Equatorial Bangi-Putrajaya di tengah-tengah Bangi Golf Resort telah menjadikan hotel ini sebagai pilihan utama untuk menganjurkan pelbagai persidangan antarabangsa dan kebangsaan.


Hotel Equatorial Bangi-Putrajaya

Kepada peminat golf, Bangi Golf Resort menawarkan padang 18 lubang, dimajukan atas sebuah tanah seluas 660 ekar. Di samping itu, sebuah padang 18 lubang juga terdapat di Danau Golf Club yang terletak dalam kampus induk Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beberapa buah bank beroperasi di bandar ini termasuk kumpulan perbankan Maybank Banking Groups, CIMB, Bank Rakyat, Ambank, Bank Islam dan Bank Muamalat.

Bandar Baru Bangi Bandar Baru Bangi

Bandar Baru Bangi dirancangkan dan dibangunkan sebagai sebuah bandar akademik. Pada masa kini, terbangun di sekitar bandar ini beberapa institutusi pengajian tinggi bertaraf dunia di negara ini. Di antaranya ialah Kuala Lumpur Infrastructure University (KLIU), Universiti Tenaga Nasional, Islamic Teaching Institute, PORIM Training Centre, Petronas dan ILIM.

Kemudahan beribadah bagi penduduk Islam turut disediakan di Bandar Baru Bangi. Dua buah masjid, Masjid Al-Hasanah dan Masjid Teras Jernang dibina, di samping puluhan surau di beberapa seksyen di bandar ini.






No comments: